Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi tersebut, mangsa, Lee Nyuk Fook, 53, disahkan maut di lokasi manakala pembantunya, Rumih Yosep, 18, pula mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri kerana brek kenderaan itu gagal berfungsi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintenden Sivanathan Velautha berkata, sebelum kejadian, lori jenis Nissan itu dalam perjalanan dari daerah Sandakan menuju ke daerah Kota Marudu untuk menghantar minyak.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi yang berselekoh dan menuruni bukit, brek kenderaan berat berkenaan dikatakan tidak berfungsi sehingga menyebabkan melanggar lereng bukit lalu terbalik.

“Kesan kemalangan itu, pemandu lori yang berasal dari Sandakan maut di tempat kejadian dipercayai tersepit manakala kelindan pula patah kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Sivanathan, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati cuaca hujan ketika kemalangan berlaku.

“Pemandu dan penumpang tidak disyaki berada bawah pengaruh alkohol namun, sampel darah akan diambil untuk tujuan analisis di Jabatan Kimia.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Nangoh, dekat sini untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE