Perkara itu sekali gus membuktikan komitmen serta kesungguhan kerajaan negeri untuk menjadikan TPS sebagai pusat konservasi tumbuhan dan pembelajaran flora serta destinasi agro pelancongan yang terbaik di rantau ini.

Sehubungan ini, Jabatan Pertanian Sabah disarankan supaya mengambil tindakan susulan segera berhubung dengan pengumuman dan komitmen Ketua Menteri untuk menaik taraf taman berkenaan.

Saranan tersebut ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh ketika berucap merasmikan Pesta Bunga 2015 di TPS dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kerja-kerja menaik taraf itu sudah tentu akan dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke taman pertanian tersebut yang ketika ini menerima purata pelawat berjumlah 24,000 orang setahun.

“Kita amat menghargai pengumuman Ketua Menteri untuk menaik taraf Taman Pertanian Sabah. Ini akan dapat mengembangkan potensi-potensi taman pertanian itu,” katanya dalam majlis perasmian berkenaan.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan negeri, Datuk Dr. Lucas Umbul; Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Idrus Shafie; Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layappan dan Pengurus TPS, Osman Marjuki.

TPS terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Tenom dan sesuai dijadikan pusat pembelajaran khususnya berkaitan tentang tumbuh-tumbuhan.

Penganjuran Pesta Bunga 2015 merupakan satu daripada tiga acara tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian negeri untuk mempromosi TPS sebagai satu destinasi agro pelancongan yang utama di negara ini.

Pesta Bunga 2015 yang berlangsung selama dua hari itu adalah penganjuran kali ke-13 oleh TPS.

Program yang dijalankan sepanjang pesta tersebut ialah pertandingan memancing, pertandingan Ratu Bunga Kanak-Kanak, pertandingan lukisan mural, pertandingan gubahan bunga, pameran fotografi, pameran haiwan serta persembahan kesenian.

Radin menambah, program-program pemuliharaan tumbuhan yang dilaksanakan oleh TPS juga harus dikekalkan.

Ini jelasnya, bagi memastikan tumbuh-tumbuhan tertentu yang kini amat sukar ditemui terus dipulihara, dijaga dan dipelihara demi generasi akan datang serta menjadi daya tarikan kepada para penyelidik serta pelancong.

“Lawatan ramai pemimpin negara serta para penyelidik asing dan tempatan untuk melihat serta meninjau keindahan dan keceriaan TPS menunjukkan taman ini mempunyai daya tarikan dan keunikannya yang tersendiri,” tegasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, perkembangan TPS sebagai destinasi agro pelancongan ini telah mewujudkan peluang-peluang perniagaan yang boleh memberikan pendapatan kepada peniaga dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Malah jelasnya, penganjuran pesta bunga itu akan dapat memupuk dan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada keindahan flora dan fauna, seterusnya membudayakan aktiviti landskap dan perkebunan dalam kalangan rakyat sebagai satu gaya hidup sihat dan sejahtera.

“Melalui pembudayaan ini, maka visi kerajaan menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah menjelang 2020 akan menjadi realiti.

“Pesta Bunga ini memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat, khususnya pengusaha-pengusaha industri landskap dan bunga-bungaan tempatan untuk mempamerkan kreativiti dan memasarkan produk serta hasil usaha mereka yang akan menjadi faktor penggalak pertumbuhan industri berkaitan,” katanya.

Radin berkata, pesta bunga juga menjadi lokasi pertemuan strategik di antara penjual dan pembeli bunga-bungaan serta berkongsi maklumat serta mengkaji langkah terbaik untuk meningkatkan industri tersebut.

“Pesta itu turut menjadi ‘makmal hidup’ yang berkesan bagi para pelajar sekolah, penuntut dan pengkaji daripada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mempelajari, menghayati dan mendalami aspek penciptaan, reka bentuk taman dan sesuai dengan objektif kewujudan taman sebagai sebuah taman pembelajaran.

“Umpamanya, pada tahun lalu pihak British Broadcasting Corporation (BBC) dari United Kingdom (UK) telah memilih TPS sebagai tapak penggambaran bagi tujuan kajian tentang ular terbang (flying snake) atau dalam bahasa Murut dikenali sebagai Kukuo Ralaa amat membanggakan kita,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kerjasama dengan tiga buah sekolah dari daerah Tenom seperti yang dilancarkan pada Mac lalu juga akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia serta memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar sekolah yang terlibat.