Tiada pengiktirafan mahupun penghargaan diberikan kepada mereka walaupun terpaksa meme-rah kudrat dan menggadai nyawa sebagai jurupandu aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

Namun, bagaikan ‘ada hikmah di sebalik apa yang berlaku’, kerjaya sebagai malim gunung kini kian meniti di bibir seluruh masyarakat baik di dalam mahupun luar negara ekoran tragedi gempa bumi yang melanda daerah Ranau dan sekitar pada 5 Jun lalu.

Tragedi hitam yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat malim gunung itu mendapat perhatian dunia.

Masakan tidak, Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara itu seakan-akan ‘marah’ hingga salah satu puncak yang dikenali sebagai Donkey Ears Peak runtuh.

Ekoran itu, ratusan pendaki terkandas ketika berada di Kilometer (KM) 7.5 puncak gunung manakala kira-kira 40 lagi berada di KM 6.5 Gunung Kinabalu.

Insiden yang berlaku pada pukul 7.15 pagi itu menggemparkan semua pihak termasuk malim gunung yang ada bersama pendaki di gunung tersebut.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berdepan dengan gegaran kuat ketika berada di gunung selain runtuhan batu-batu besar.

“Pada waktu itu juga keadaan kelam kabut. Bukan semua pendaki boleh kami selamatkan. Hingga memaksa kami meninggalkan mereka yang terkorban di Laban Rata demi keselamatan para pendaki lain.”

Demikian cerita seorang malim gunung, Mohd. Asli Suplin, 30, yang merupakan antara 32 orang malim gunung yang melakukan operasi mencari dan menyelamat di Gunung Kinabalu.

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas dia dan beberapa malim gunung lain mengusung mayat seorang petugas Mountain Torq bersama 90 pendaki yang selamat ke Laban Rata.

Tambah Mohd. Asli, sewaktu berada di Laban Rata, kesemua pendaki dan malim gunung dikejutkan dengan gegaran susulan yang berlaku sekitar pukul 8 dan 9 malam sebelum diarahkan keluar dari tempat penginapan dan berkumpul di kawasan lapang.

“Selepas gegaran itu, kami meneruskan perjalanan sebelum tiba di Timpohon Gate pada pukul 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui di Taman Kinabalu dekat sini.

Selain itu, seorang lagi malim gunung, Freddie Akau, 48, memberitahu, pihaknya terpaksa melalui laluan alternatif antara KM 7.5 hingga KM 6.5 ekoran laluan pendakian asal ditimbuni batu.

Katanya, malim gunung mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan pendaki yang dibawa selamat tiba di kaki gunung selepas pendakian.

Jelasnya, dia berasa seperti ‘mati hidup semula’ selepas merasai gegaran sewaktu berada di gunung tersebut.

“Runtuhan batu-batu besar banyak menghancurkan laluan pendakian namun syukur dan gembira dapat menyelamatkan dua pasangan pendaki yang di bawah penja-gaan saya,” katanya.

Sementara itu, insiden gempa bumi dan runtuhan batu di Gunung Kinabalu itu menurut kepercayaan masyarakat tempatan adalah akibat perasaan marah penunggu gunung yang dikenali sebagai ‘Aki Nabalu’ ekoran tindakan pihak tidak bertanggungjawab berbogel di puncak gunung pada 31 Mei lalu.