Ketua Cawangan Perkeso Keningau Rijal Jamalludin berkata skim tersebut memberi faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun kehadiran berterusan serta faedah pemulihan tanggungan kepada pekerja yang dilindungi.


"Skim ini terpakai kepada majikan yang menggaji pekerja asing dengan dokumen sah termasuk ekspatriat. Banyak manfaat yang pekerja asing peroleh daripada skim ini kecuali Skim Pencen Ilat (Tidak dapat bekerja disebabkan cacat kerana kemalangan) di bawah Akta 4," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Jamaluddin berkata, pelaksanaan skim itu dikuatkuasakan mulai 1 Januari lepas bagi menggantikan Skim Pampasan Pekerja Asing di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952.


Beliau berkata sejak dikuatkuasakan awal tahun ini sebanyak 17 majikan melibatkan 28 pekerja telah mendaftar di bawah skim itu di kawasan pedalaman dengan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rasmi agensi itu.

Rijal berkata majikan yang telah pun mendaftarkan industri dan pekerja mereka kepada agensi itu juga turut digalakkan berbuat demikian.


Beliau berkata majikan yang dengan sengaja mengabaikan arahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.


Beliau menasihatkan majikan yang berada dalam lingkungan daerah ini, Sook, Nabawan, Pagalungan, Tambunan, Tenom dan Kemabong supaya proaktif terhadap saranan kerajaan itu. - BERNAMA