Suspek berusia 42 tahun itu dijumpai orang awam dalam keadaan tergantung di sebatang pokok kira-kira pukul 4.30 petang.

Ketua Polis daerah, Superintenden A. Sahak Rahmat berkata, proses pengecaman mendapati mayat tersebut merupakan suspek yang diburu polis berhubung kes penderaan terhadap isterinya pada Isnin lalu.

“Punca kematian suspek masih lagi disiasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Isnin lalu, seorang wanita mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan akibat dibaling dengan sebatang tombak kelapa sawit di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Penangah Tongod dekat sini.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu dipercayai berpunca selepas isterinya menegur dan melarang suspek supaya tidak mengambil minuman keras, selain memintanya untuk memindahkan hasil buah sawit di kebun berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.