Presiden persatuan itu Duanis Mogirong berkata jumlah pelancong yang mengikuti program inap desa juga meningkat secara mendadak iaitu 70,083 orang sepanjang tahun lepas berbanding 47,291 dan 47,944 pada tahun 2017 dan 2016,

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan pelbagai program menarik yang ditampilkan oleh inap desa di Sabah, dan memberi contoh Misompuru Homestay yang terletak di Kudat, inap desa yang merekodkan pendapatan tertinggi tahun lepas iaitu RM1,655,361.

"Ia diikuti dengan Seri Serbang Homstay (Papar) RM1,370, 216 dan Miso Walai Homestay (Kinabatangan) dengan pendapatan RM1,264,268," katanya ketika memberikan taklimat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang merangka beberapa rancangan bagi meningkatkan pendapatan pengusaha indap desa menjangka antara RM10 juta dan RM20 juta menjelang 2025, antaranya termasuk mengadakan karnival inap desa tahunan bermula tahun ini serta konvensyen tahunan inap desa bermula 2020 serta Visit Year Homestay Sabah 2022.

Sementara itu Christina dalam ucapannya melahirkan harapan agar lebih ramai lagi pengusaha menceburi industri inap desa di Sabah yang dilihatnya semakin berkembang dengan positif, malah sehingga kini ada beberapa inap desa yang mencapai standard antarabangsa.

"Saya ucapkan tahniah kepada Misompuru Homestay Seri Serbang Homestay, dan Mesilou Atamis Homestay kerana berjaya mendapat anugerah pada majlis penyampaian Anugerah Inap Desa Cemerlang dan Program Think Tank Homestay Malaysia 2019 di Kampungstay Desa Murni, Temerloh baru-baru ini," katanya. - BERNAMA