Beliau berkata pelbagai kesukaran akan timbul ekoran masalah berkenaan, termasuk kanak-kanak tidak dapat bersekolah.


"Perkara ini perlu dipandang serius demi masa depan anak-anak. Oleh itu kita juga meminta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di semua bahagian di negeri ini dapat membantu menyalurkan maklumat kepada JPN sekiranya terdapat masalah ini di kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil lahir kepada tujuh adik beradik di Kampung Sabang, Kuala Penyu dekat sini hari ini.


Katanya isu kemiskinan dan faktor jarak yang jauh merupakan antara faktor ibu bapa tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak mereka di JPN.


"Namun Unit Khas Bergerak JPN sedia membantu berkaitan masalah itu khususnya di kawasan luar bandar," katanya.


Beliau berkata lebih 50 program Unit Khas Bergerak JPN dilaksanakan di seluruh Sabah dan lebih 500 individu berjaya didaftarkan untuk mendapatkan sijil lahir dan kad pengenalan.


Terdahulu, Ismail menyerahkan sijil lahir kepada tujuh adik beradik itu berusia lima hingga 17 tahun di kampung berkenaan, yang sebelum ini tidak pernah membuat pendaftaran di JPN.


Bapa kepada tujuh beradik itu, Marius Thomas, 44, berterima kasih kepada JPN Sabah kerana memudahkan urusan beliau mendapatkan sijil lahir kepada kesemua anaknya yang sebelum ini sukar mendapatkan pendidikan.


"Saya juga sangat berterima kasih kepada UPPM Kuala Penyu, Jabatan Pendidikan dan Pejabat Daerah Kuala Penyu yang turut bekerjasama dengan JPN untuk membantu saya menyelesaikan masalah ini," kata Marius. - BERNAMA