Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, usaha tersebut adalah perlu bagi memperhebatkan kegiatan ekonomi setempat selain menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar dalam bidang perniagaan.

Katanya, langkah tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib masyarakat luar bandar dengan menyediakan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Langkah itu bertujuan membantu golongan belia bumiputera Sabah yang berminat dalam bidang perniagaan untuk mendapatkan geran mengikut acuan dan kehendak keperluan belia tempatan.

“Selain itu, program itu juga bagi memberi peluang kepada mereka yang berada di luar bandar untuk mendapatkan geran khas memulakan perniagaan sekali gus dapat mengurangkan penghijrahan belia luar bandar ke kawasan bandar,” katanya ketika berucap dalam majlis pe­nyerahan Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS) di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar II.

Yang turut hadir Ketua Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Awang Damit Awang Anak.

Dalam pada itu, Sapawi yang juga penyandang kerusi Parlimen Sipitang berkata, 107 belia yang layak menerima skim tersebut mendapat manfaat meliputi 89 belia kategori individu dan 18 belia bagi kategori kumpulan.

Katanya, menerusi skim tersebut, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan negeri memperuntukkan sejumlah RM147,000 iaitu masing-masing mendapat RM2,000 bagi kategori individu dan RM5,000 bagi kategori kumpulan.

“Adalah diharapkan dengan usaha ini dapat membentuk semua peserta menjadi usahawan yang produktif dan berdaya saing serta dapat memajukan perniagaan masing-masing,” ujarnya.