Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa berkata kesemua lelaki yang berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang di perairan Sungai Membalua di sini.


"Bot peronda maritim yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan tanggungjawab, telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan sebelum menahan bot berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Romli berkata pemeriksaan lanjut mendapati juragan dan awak-awak itu memasuki perairan negara untuk membeli pakaian terpakai sebelum dibawa ke Indonesia.


Beliau berkata kesemua warganegara asing itu bersama bot dihantar ke jeti maritim untuk tindakan lanjut.


"Maritim akan terus meningkatkan lagi pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras," katanya. - BERNAMA