Di tengah-tengah kemeriahan tradisi unik sepanjang bulan Syawal itu, isu pembaziran makanan bukan lagi perkara asing, bahkan sudah dianggap biasa dalam majlis rumah terbuka.

Kerap kali banyak makanan dibuang terutama dalam majlis rumah terbuka besar-besaran diadakan oleh pemimpin, organisasi dan syarikat yang dihadiri ribuan tetamu.

Tabiat orang kita yang terlalu mengikut nafsu semasa menghadiri majlis itu menjadi punca banyak makanan dibuang, malah yang menyedihkan ada makanan diambil tetamu tidak dijamah pun oleh mereka.

Ramai yang rambang mata dan tidak sabar apabila melihat deretan makanan seperti sate, kambing bakar, kuetiau dan mi goreng yang disediakan.

Selalu kita lihat seorang tetamu yang mengambil makanan dalam kuantiti banyak seolah-olah tiada lagi hari esok untuknya menikmati ma­kanan berkenaan.

Kalau sate sehingga berbelas-belas cucuk dilambakkan di atas pinggan sedangkan jumlah itu tidak mungkin boleh dihabiskannya seorang. Begitu juga dengan kambing bakar sehingga penuh pinggan dengan limpahan sos lada hitam dituangkan.

Ada juga yang mengambil ber­jenis-jenis makanan sehingga akhirnya makanan itu hanya dijamah sedikit dan baki makanan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Majlis rumah terbuka bertukar menjadi pesta makanan yang disudahi dengan timbunan sisa makanan berakhir di dalam beg plastik sampah.

Tabiat buruk sedemikian me­nyumbang kepada penghasilan sisa makanan yang besar di negara ini saban tahun.

Mengikut statistik Perba­da­nan Pengurusan Sisa Pepe­jal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat negara ini dianggarkan membuang lebih 8,000 tan makanan sehari, iaitu jumlah yang boleh menampung keperluan tujuh juta orang.

Sampah dari sisa makanan merupakan penyumbang ter­besar sisa pe­pejal yang dihasilkan di negara ini iaitu sebanyak 44.5 peratus daripada jumlah keseluruhan sampah yang dibuang.

Kemakmuran negara menjadikan kita mewah dengan makanan tetapi amat malang kerana dalam masa yang sama kita turut ‘menghantar’ timbunan besar makanan ke tapak pembuangan sampah setiap hari.

Masalah ini tidak akan dapat diatasi dan menjadi semakin kritikal jika masyarakat masih enggan mengubah sikap dalam aspek pengambilan makanan.

Situasi ini boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih prihatin dengan hanya memakan makanan yang diperlukan.

Kalau mengambil makanan di rumah terbuka, ambil da­lam kuantiti yang boleh dihabiskan. Memang tujuan rumah terbuka diadakan untuk menjamu selera tetamu, namun berpada-padalah, jangan tamak sehingga membazir.