Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya bekerjasama dengan syarikat MAG Technology & Trading Sdn. Bhd. (MAGTech) yang merupakan rakan teknikal bagi memperluaskan konsep tersebut di seluruh negara.

Ujarnya, melalui pelaksanaan i-Workshop sebanyak tujuh hingga 10 pengusaha bengkel akan beroperasi di satu lokasi dengan menawarkan perkhidmatan dan kepakaran berlainan kepada pelanggan.

"Ini memudahkan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan yang berkualiti di bawah satu bumbung dengan peralatan dan teknologi moden selari dengan model-model baharu kenderaan.

"Selepas ini sebuah lagi i-Workshop akan dilancarkan di Seremban dan Melaka dalam tahun ini. Di Kedah mungkin akan ada dua buah, di Sabah tiga manakala di Sarawak mungkin di semua bandar utamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan i-Workshop antara MARii yang diwakili beliau dan MAGTech diwakili Pengarah Urusannya, Zamani Baharom.

Pengarah Jalinan Strategik MAG Group, Dr. Azlina Ahmad. 

Menurut Madani, i-Workshop juga menerapkan penggunaan teknologi terkini termasuk mengumpulkan data-data dari penyelenggaraan kenderaan untuk dianalisis sekali gus penyelenggaraan dapat dilakukan dengan lebih baik.

Sementara itu, Zamani berkata, i-Workshop mampu menawarkan perkhidmatan lebih murah sehingga 30 peratus berbanding di bengkel persendirian atau pusat jualan, servis, alat ganti dan mengecat (4S).

"Ini kerana kami boleh mengenakan upah kerja lebih kompetitif selain membekalkan sendiri alat ganti kepada enam bengkel yang menyertai di bawah MAGTech.

"Kita menjangkakan pertambahan bilangan pelanggan sehingga 50 peratus kerana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang baik dan berkualiti di sini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi peluang kepada semua pengusaha bengkel kecil-kecilan dan mereka yang mempunyai minat serta kemahiran untuk menyertai program itu. - UTUSAN ONLINE