Selepas mengambil VSS pada usia 46 tahun, Borhan yang merupakan seorang operator di sebuah kilang di negeri ini tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus memulakan langkah mempelajari ilmu pembuatan aiskrim sehingga jenama Rizky Aiskrim dikenali ramai pada masa ini.

Borhan berkata, sejak menginjak usia 40 tahun, dia mula terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Pada masa sama, kilang tempat saya bekerja ada menawarkan VSS dan apabila berbincang dengan isteri, dia juga bersetuju supaya saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan.

“Selepas mengambil VSS, saya mula berfikir perniagaan apa yang boleh dilakukan dan produk apa yang sesuai dipasarkan untuk semua peringkat usia,” katanya ketika ditemui di pusat operasi Rizky Aiskrim di Pulau Betong di sini hari ini.

Menurut Borhan, idea untuk menjual aiskrim timbul apabila dia pulang ke kampung isterinya, Nor Asiah Nordin, 35, di Kelantan.

“Di Kelantan saya melihat ramai usahawan bumiputera yang menjual aiskrim dan ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Selepas itu pada awal 2017, saya mula mengambil kursus-kursus untuk mempelajari ilmu pembuatan aiskrim dan juga belajar di internet bagaimana untuk menghasilkan aiskrim yang bermutu serta sedap dimakan,” katanya.

Borhan berkata, dia mela­bur duit VSS sebanyak RM30,000 untuk membeli peralatan membuat aiskrim dan akhirnya selepas beberapa kali percubaan, pada pertengahan Jun 2017 dia berjaya menghasilkan aiskrim buatan sendiri yang kemudiannya dijual kepada pengusaha katering.

“Selepas menghasilkan produk sendiri, saya mendaftar sebagai usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan saya memperoleh pelbagai ilmu lagi de­ngan bantuan jabatan serta agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

“Dalam tempoh tiga tahun ini saya berjaya menjual aiskrim kepada koperasi sekolah-sekolah, kedai runcit serta katering sehingga ke Sungai Petani,” katanya.

Tambahnya, Rizky Aiskrim kini mempunyai tujuh perisa antaranya coklat, kelapa, strawberi dan lain-lain juga telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dijual pada harga RM1 bagi 70.8 gram di sekolah serta RM1.30 bagi pasaran biasa.

“Saya bersyukur kerana impian untuk menjadi usahawan telah berjaya dan saya anggap usaha ini adalah satu fardu kifayah dalam membantu umat Islam mendapatkan aiskrim yang halal dan bermutu tinggi,” katanya.