Mensasarkan gelandangan, pekerja seks, penganggur dan pengemis, program Kami Prihatin itu bertujuan berkongsi maklumat khususnya mengenai perkhidmatan yang disediakan AADK sekiranya golongan terbabit berdepan masalah ketagihan dadah.

Diketuai Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung, progam khas itu disertai seramai 92 orang termasuk ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO); kelab komuniti setempat dan sukarelawan.

Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan yang mendekati golongan sasar tersebut di sekitar Masjid Kapitan Keling; Jalan Lebuh Chulia; Jalan Penang; Jalan Lebuh Leith selain di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menjadi tumpuan kumpulan gelandangan.

Menurut Elmariah, program khas itu merupakan salah satu pendekatan AADK untuk menyebar luas maklumat mengenai peranan, bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan khususnya dalam usaha memulihkan penagih dadah.

Ujar beliau, menerusi pendekatan bertemu secara terus dengan kumpulan itu, pihaknya berharap dapat memujuk mereka yang terbabit dalam penagihan dadah supaya tampil secara sukarela mendapatkan khidmat rawatan dan pemulihan yang disediakan AADK.

Tambahnya, antara maklumat yang disampaikan ketika bertemu golongan itu adalah mengenai perkhidmatan di Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC); Pusat Perkhidmatan, Rawatan dan Pemulihan (CCSC) dan Klinik Cure & Care AADK yang boleh dikunjungi penagih dadah untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa.

“Buat masa ini kita mempunyai beberapa pusat CCRC; CCSC dan Klinik Cure & Care ini di negeri ini seperti di Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Tasek Gelugor yang bersedia untuk memberi rawatan kepada penagih dadah.

“Kesemua perkhidmatan ini diberikan secara percuma mengikut tempoh rawatan iaitu ada yang bersifat bantuan harian dan ada yang melibatkan tempoh rawatan antara lapan hingga 24 bulan.

“Selain memulihkan penagih dadah, pusat ini juga mempunyai modul untuk membawa bekas penagih kelak kembali kepada masyarakat termasuk sehingga memperoleh pekerjaan,” katanya kepada pemberita dalam operasi itu di sini malam tadi.

Turut terlibat dalam program itu ialah ahli-ahli NGO Pertubuhan Belia Liga Muslim; Kelab Komuniti Jalan Scotland; Rukun Tetangga Kampung Kolam dan Kumpulan Penyelidikan dan Tindakan AIDS (AARG).

Menurut Elmariah, pihaknya bertuah kerana projek sebegitu turut mendapat sokongan padu daripada NGO dan kelab komuniti setempat yang bersama-sama agensi berkenaan membanteras masalah penagihan dadah.

Katanya, kerjasama erat daripada masyarakat itu sangat diperlukan dalam usaha AADK memastikan lokasi merah iaitu tumpuan penagih dadah seperti di sekitar Georgetown dapat dibersihkan dan penagih dapat dibantu serta diberi rawatan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa mana-mana penagih dadah atau keluarga yang ahli mereka terlibat dalam gejala itu menghubungi talian 03-89112233 atau 019-6262233 sekiranya memerlukan maklumat lanjut berhubung program pemulihan dan rawatan dadah yang ditawarkan AADK. - UTUSAN ONLINE