Rahmah adalah akronim kepada Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami (Go Green) dan Hormat bakal menjadi model buat Masjid Al-Malik Khalid di USM sebagai pusat kecemerlangan dan perubahan kepada du­nia Islam secara keseluruhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pendekatan yang diambil oleh USM amat terpuji kerana sudah tiba masanya institusi masjid diterjemahkan dengan Rahmah yang lebih bersikap terbuka terutamanya berteraskan konsep Rahmatan lil Alamin.

“Masjid Al-Malik Khalid USM wajar dijadikan model kepada konsep Rahmah ini dan pada masa sama tidak mengubah kerangka asalnya sebagai tempat beribadat.

“Jadi, saya menyeru institusi masjid di negara ini dapat mengikuti apa yang dilaksanakan USM selaras dengan usaha kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan lil Alamin itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Masjid Model Rahmah sempena Mosque Tour Week 2019 anjuran Pusat Islam USM di Masjid Al-Malik Khalid di sini baru-baru ini.

Mujahid berkata, konsep Rahmah jika diamalkan setiap institusi masjid mampu mema­damkan prasangka negatif dan sikap kebencian di dalam negara yang berbilang agama dan kaum seperti di Malaysia.

Beliau juga mengingatkan yang mana Masjid Al-Malik Khalid USM yang terletak di dalam kampus boleh memainkan peranan penting untuk menyebarkan kerahmatan Allah kepada golongan intelektual atau ilmuwan, warga kampus dan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, konsep Rahmah yang dipraktikkan Pusat Islam USM amat bertepatan dengan hala tuju USM untuk membina Malaysia yang lebih lestari pada masa depan.

“Ini juga menjadikan Masjid Al-Malik Khalid USM sebagai contoh kepada masjid lain yang seumpamanya sebagai masjid mesra dan ramah.

“Ia termasuk menyantuni bukan Islam, suasana aman tanpa elemen kebencian, yang harmoni, mesra alam serta saling hormat-menghormati,” katanya.