Bangunan dua tingkat yang mengekalkan konsep dan ciri bina warisan sesuai dengan status Georgetown sebagai Tapak Wari­san Dunia itu sebenarnya merupakan asrama kepada waris pesakit yang sedang dirawat di HPP.

WAN MANSOR HAMZAH
WAN MANSOR HAMZAH 

Usaha itu merupakan inisiatif di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam memberi kemudahan kepada waris pesakit khususnya keluarga kurang berkemampuan untuk menema­ni ahli keluarga mereka yang sakit.

Sebelum dinaik taraf, Tull’s Anjung Kasih itu pada mulanya dikenali sebagai Balai Pelawat HPP dan mula beroperasi pada 2009.

Ketika itu, Balai Pelawat ber­kenaan mempunyai tujuh bilik dengan 44 katil dan dilengkapi kemudahan asas seperti ruang tidur, bilik mandi dan ruang rehat.

Bagaimanapun selaras dengan hasrat kerajaan memberi kemudahan terbaik kepada waris pesakit, bangunan itu ditutup pada 1 Februari tahun lalu untuk kerja-kerja menaik taraf dengan kos kira-kira RM850,000.

Akhirnya, rumah penginapan itu dibuka semula 7 Januari lalu dengan wajah baharu tidak ubah seperti butik hotel dan lebih bermakna apabila dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Sesuai dengan wajah dan nama baharunya, Tull’s Anjung Kasih kini menyaksikan penambahan kepada 12 bilik dengan 72 katil yang dilengkapi dengan tilam baharu dan lebih selesa.

Selain itu, Tull’s Anjung Kasih HPP tersebut juga dilengkapi kemudahan ruang makan seperti meja makan, peti sejuk, ruang istirahat dengan televisyen, kemudahan ruang berkunci (locker) untuk penyimpanan barang peribadi dan alat pendingin hawa sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, segala kemudahan yang dipertingkatkan itu bertujuan memberi keselesaan kepada waris pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di HPP.

Paling utama, katanya, waris berkenaan dapat mendiami bilik berkenaan secara percuma sekali gus mengurangkan beban mereka untuk menyewa hotel atau rumah tumpangan yang mahal.

Beliau berkata, umumnya, pesakit khususnya yang menjalani rawatan bagi penyakit kritikal dan perlu bertemu pakar memerlukan tempoh rawatan yang lama apabila dimasukkan ke wad.

“Situasi ini boleh memberi tekanan dan bebanan kewangan kepada waris khususnya mereka yang perlu datang dari negeri yang jauh dan penginapan percuma di Tull’s Anjung Kasih me­rupakan inisiatif terbaik dalam membantu golongan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Mansor berkata, berbeza dengan Anjung Kasih di negeri lain, Tull’s Anjung Kasih HPP ini lebih istimewa kerana struktur bangunan lamanya dikekalkan dan diperkayakan dengan nilai-nilai warisan selari dengan status Georgetown sebagai Bandar Wa­risan Dunia.

Bagi mereka yang memerlukan kemudahan Tull’s Anjung Kasih, boleh membuat permohonan secara langsung dengan HPP dan kemudahan ini kebiasaannya diberikan selama lima hari berterusan kepada setiap waris.

Ini bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai waris pesakit HPP mendapatkan kemudahan tersebut, namun sekiranya ada kekosongan, waris sama boleh membuat permohonan baharu selepas lima hari.