Pemangku Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tanggapan kerajaan negeri yang mana kaedah itu selamat digunakan dengan kemajuan teknologi terkini adalah tidak tepat.

Ini kerana, jelasnya, insinerator yang paling maju sekali pun masih mengeluarkan ribuan bahan yang mencemari udara, tanah dan air yang seterusnya memasuki bekalan makanan serta rantaian makanan.

Selain pelepasan udara toksik, kata beliau, teknologi insinerator akan menghasilkan abu yang sangat toksik.

“Menggunakan insinerator juga bermakna pembaziran berlaku kerana sumber-sumber berharga yang boleh digunakan semula, terutamanya kerana ada sisa yang sesuai untuk dipisahkan dari punca, dikompos dan dikitar semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohideen, selama bertahun-tahun CAP dan beberapa komuniti telah berjaya menunjukkan daya maju pengkomposan sisa organik di rumah, sekolah, institusi dan ladang di negeri ini.

Katanya, beberapa sekolah di Pulau Pinang dengan bimbingan CAP telah mengunakan sisa makanan kantin untuk dijadikan kompos dan seterusnya sebagai baja di kebun sayur mereka.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengkaji inisiatif-inisiatif yang berbeza ini yang telah mengubah sisa menjadi sumber, bukan membakar sisa dan menyumbang kepada pelepasan gas dan abu toksik yang memudaratkan kesihatan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Tegas beliau, negara-negara maju yang sebelum ini bergantung kepada insinerator telah beralih daripada teknologi itu dan kini menjajakan teknologi mereka ke negara-negara membangun.

Katanya, banyak negara kini beralih ke arah sisa sifar dan melabur dalam strategi pengurusan sisa jangka panjang termasuk membubarkan insinerator mereka. - UTUSAN ONLINE