MUHAMMAD SIRAJUDIN SULAIMAN
MUHAMMAD SIRAJUDIN SULAIMAN 

Banyak belajar secara mendengar sebelum ini, Muhammad Sirajudin mula diperkenalkan dengan mukaddam Braille ketika darjah satu sehingga beberapa kali khatam dan menghafaz semua surahnya.

Namun disebabkan kepayahan untuk mendapatkan al-Quran Braille, dia hanya sempat menghabiskan surah al-Baqarah meskipun begitu berhasrat untuk membaca kesemua 30 juzuk dan segera khatam al-Quran.

Bagaimanapun, impian Muhammad Sirajudin untuk memiliki al-Quran Braille itu tercapai semalam selepas dia yang bernaung di bawah persatuan cacat penglihatan, Persatuan Tongkat Putih menerima sumbangan al-Quran Braille.

Menurut Muhammad Sirajudin yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat (IT) di St. Nicholas Home di sini, dia bersyukur kerana terpilih antara penerima al-Quran Braille itu yang sememangnya menjadi keinginannya sejak sekian lama.

Katanya, dengan pemberian al-Quran Braille yang lengkap itu, dia kini dapat meneruskan impiannya untuk segera khatam al-Quran dan menghafaz lebih banyak surah.

“Saya bertuah kerana mendapat al-Quran Braille ini pada usia muda, sebab saya mempunyai banyak masa untuk membaca, menghafaz dan khatam al-Quran.

“Ini kerana untuk membaca al-Quran tidak sama seperti mukaddam, sebab ayat-ayatnya lebih panjang, jadi saya memerlukan lebih banyak masa,” katanya di sini malam tadi.

Muhammad Sirajudin ditemui pemberita dalam majlis penyerahan al-Quran Braille itu yang disumbangkan hasil kerjasama Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. dan Masjid Kapitan Keling.

Menerusi kerjasama itu, sebanyak 100 naskah al-Quran Braille disumbangkan kepada penerima terdiri daripada persatuan cacat penglihatan dan masjid-masjid di sekitar negeri ini.

MUHAMMAD DANISH ISYRAQ AB. GHANI
MUHAMMAD DANISH ISYRAQ AB. GHANI 

Sementara itu, seorang lagi penerima, Muhammad Danish Isyraq Ab. Ghani, 16, berkata, dia teruja dan bersemangat untuk mula belajar membaca al-Quran Braille.

Katanya, ini kali pertama dia menerima al-Quran Braille dan berharap ada pihak yang dapat mengajarnya teknik membaca al-Quran tersebut sehingga mahir.

“Sebelum ini saya membaca al-Quran biasa dengan bantuan ahli kelurga, guru dan rakan-rakan.

“Jadi dengan adanya al-Quran Braille ini, saya berharap ada pihak yang sudi membantu saya mempelajari tekniknya supaya saya dapat membaca sendiri al-Quran dengan lancar selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE