Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya kini masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung kadar kenaikan sebenar yang akan dicadangkan.

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow 

Katanya, kerajaan negeri juga akan memansuhkan surcaj pemuliharaan air (WCS) yang kini dikenakan pada tahap 48 sen bagi setiap 1,000 liter sebaik sahaja kadar tarif air baharu dilaksanakan kelak.

“Pulau Pinang juga tidak terkecuali dengan kenaikan tarif air yang dicadangkan itu kerana ia selaras dengan Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, ia belum dimuktamadkan mungkin akan naik 20 peratus atau lebih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar memaklumkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini.

Menurutnya, kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberi jaminan meskipun tarif air itu akan dinaikkan, namun kadar yang dikenakan di negeri ini masih paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Ketika ini, kadar tarif air yang dikenakan kepada pengguna di negeri ini adalah sebanyak 32 sen bagi setiap 1,000 liter bagi penggunaan 35,000 yang pertama. - UTUSAN ONLINE