Kelompok aktivis alam sekitar dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini bermatian-matian menentang projek itu juga begitu teruja dengan perhatian daripada Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan.

Perasaan itu ada asasnya kerana Anwar yang dijanjikan bakal Perdana Menteri sedikit masa lagi mempunyai kuasa penuh terhadap nasib projek yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan.

Ini kerana sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri kelak, beliau juga bakal menjadi Pengerusi Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang akan memutuskan projek itu.

Meskipun projek itu dikatakan sudah mendapat kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), namun sekiranya MPFN tidak membenarkannya, maka projek tersebut tidak akan berjalan.

Barangkali disebabkan hakikat itu juga, pertemuan Anwar dengan kelompok nelayan dan NGO di Jeti Sungai Batu, Teluk Kumbar hari ini mendapat sambutan cukup meriah.

Ini kerana Anwar ketika ini dilihat sebagai jalan terakhir kepada kelompok berkenaan untuk menyelamatkan periuk nasi golongan nelayan dan khazanah laut negeri ini daripada terus dicabuli.

Besar harapan mereka, Anwar dapat melihat kontroversi projek itu dari sudut pandang keresahan mereka melebihi fokus keuntungan seperti dimahukan pemaju.

Dengan perhatian sebegitu, Anwar dapat meyakinkan pula Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebahagian besarnya turut dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR untuk membatalkan projek tambak laut tersebut.

Anwar juga mempunyai pengaruh penting sebagai bakal Perdana Menteri untuk meyakinkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana Kerajaan Pusat boleh menghulurkan dana bagi menjayakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Maka, projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan untuk dijual bagi mencari modal menggerakkan PIP tidak lagi perlu diteruskan.

Ini adalah jaminan yang diharapkan oleh kelompok nelayan, aktivis alam sekitar, NGO dan seluruh penduduk Pulau Pinang yang majoritinya membantah projek tambak laut ini.

Apa yang dibimbangkan sekiranya perhatian ini sekadar mendapatkan kelebihan politik (political mileage) yang pada akhirnya nasib nelayan dan rakyat tetap gagal melangkaui kepentingan pemaju. - UTUSAN ONLINE