Malah, pastinya tidak terlintas di fikiran kebanyakan orang Batu Maung yang kini menjadi antara kawasan paling sibuk ke­­rana terletaknya Zon Perindus­trian Bebas Bayan Lepas menyim­pan sebuah syurga dasar laut yang cukup mempesonakan.

Pesisir pantainya suatu ketika dahulu merupakan habitat kepada pelbagai spesies hidupan marin antaranya kuda laut serta batu karang.

Atas faktor itu, Institut Pe­ngurusan Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan negeri mengambil inisiatif membangunkan sebuah ‘syur­ga laut’ yang dikenali sebagai Akuarium Tunku Abdul Rahman di lokasi tersebut.

Akuarium itu bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan habitat hidupan marin tetapi juga pusat pembiakan spesies terancam termasuk batu karang.

Menurut pengurusnya, Chu­­ah Peng Hean, akuarium yang dibuka kepada orang­ ramai itu me­nem­­­patkan pelbagai­ spe­sies hi­du­pan ma­rin ter­ma­suk yang jarang ditemui.

Katanya, pusat itu mula di­bangun­kan sekitar 1960-an di Ja­lan Akuarium, Gelugor, sebelum dipin­dahkan ke Batu Maung sekitar 1980-an dan dibuka setiap hari kecuali Rabu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Jelasnya, akuarium yang di­bangunkan sebagai pusat kajian bagi pembiakan atau pemeliharaan hidupan marin di bawah FRI itu bertujuan memastikan spesies dasar laut tidak terus diancam kepupusan.

“Orang ramai yang mengunjungi akuarium ini boleh me­nge­nali pelbagai spesies hidupan marin dan mendalami kehi­­du­pan dasar laut yang secara tidak langsung mampu mening­katkan ke­sedaran mereka terhadap ke­pentingan laut kepada manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Peng Hean berkata, ramai dalam kalangan pengunjung ke akuarium terbabit teruja dapat melihat spesies hidupan marin secara langsung seperti kuda laut, tapak sulaiman dan sebagainya.

Selain itu, katanya, akuarium tersebut turut menekankan aspek pembelajaran khususnya berkaitan ancaman terhadap hidupan laut ke arah menyuntik kesedaran terhadap pentingnya menjaga khazanah alam ber­kenaan yang semakin terancam.

“Banyak hidupan laut diancam kepupusan setelah ekosistem laut termasuk kawasan yang dulunya merupakan lubuk ikan diganggu dan dicemari selut ketika ini,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan hi­dupan marin termasuk batu karang yang ditempatkan di akuarium berkenaan diperoleh daripada beberapa kawasan perairan negara yang diambil ketika diadakan kajian lapangan di kawasan terlibat.

Sebagai contoh, katanya, spe­sies ikan nemo, penyu dan batu karang yang diambil sekitar perairan Terengganu manakala spe­sies gamat diambil di sekitar perairan Perak.

Jelas beliau, kebanyakan hi­dupan marin yang diambil itu merupakan antara spesies yang kian berkurangan dan hampir mati seperti batu karang untuk dipulihara serta dibiakkan.