Dihadiri lebih 30 penduduk bukan Islam daripada kira-kira 20 buah keluarga, program yang dianjurkan di pekarangan masjid itu mendapat sambutan menggalakkan meskipun pertama kali dianjurkan.

Selain turut sama berbuka puasa, penduduk bukan Islam itu turut dibawa melihat ruang solat di dalam surau dan diberi penerangan mengenai cara solat, berwuduk dan memakai telekung serta tudung.

Menurut Pengerusi Kariah Surau Sutera Prima, Khairul Anuar Ishak, program itu merupakan usaha kecil pihaknya dalam berdakwah dan menyampaikan mesej mengenai Islam khususnya peranan surau dalam kalangan bukan Islam.

Katanya, beliau juga berharap program itu dapat meyakinkan masyarakat pelbagai agama dan kaum yang mana surau bukan hanya tempat untuk orang Islam beribadat, sebaliknya terbuka kepada semua kaum selagi tidak bercanggah serta bertentangan dengan syariat Islam.

“Kita mahu menunjukkan kepada orang bukan Islam yang mana mereka sentiasa dialu-alukan untuk ke surau sekiranya memerlukan bantuan seperti makanan dan sebagainya.

“Dengan membuka surau ini kepada orang bukan Islam selagi tidak mencemarkan syariat Islam, maka secara tidak langsung kita dapat berdakwah kepada bukan Muslim untuk mengenali Islam dengan lebih rapat,” katanya ketika ditemui dalam majlis itu.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan, Zeon Cheong berkata, dia teruja selepas mendapat jemputan menghadiri hari `surau terbuka’ di Surau Sutera Prima tersebut yang disifatkan sebagai satu pengalaman baharu baginya.

SEBAHAGIAN daripada penduduk bukan Islam menyertai program berbuka puasa dan 'surau terbuka'
SEBAHAGIAN daripada penduduk bukan Islam menyertai program berbuka puasa dan 'surau terbuka' anjuran Kariah Surau Sutera Prima, Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

Katanya, dia selama ini menyangka surau atau masjid adalah ruang eksklusif untuk umat Islam dan orang bukan Islam dilarang sama sekali memasukinya kerana boleh dianggap penghinaan.

“Program seperti ini juga memberi kefahaman yang lebih jelas kepada saya mengenai Islam khususnya tentang peranan surau selain dapat mengeratkan silaturahim antara jiran-jiran yang berbeza agama dan kaum di taman perumahan ini.

“Saya memuji pihak pengurusan surau ini kerana sudi meraikan bukan Islam dengan penganjuran program ini selain mengajak kami berbuka puasa bersama-sama.

“Saya berharap lebih banyak pihak pengurusan surau atau masjid menganjurkan program sebegini dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Sementara itu, seorang warga Amerika Syarikat (AS), Amanda Miller pula berkata, dia juga tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut selepas dijemput rakannya yang tinggal di kejiranan berkenaan.

Katanya, dia yang baru tiba di sini mengakui teruja untuk mendekati dan melihat sendiri cara hidup masyarakat di negeri ini termasuk komuniti Islam terutama sepanjang menyambut Ramadan. – UTUSAN ONLINE