Daripada jumlah itu, lapan da­ripadanya adalah berkaitan status kelayakan restoran besar terma­suk restoran nasi kandar mengenakan cukai sebanyak enam peratus manakala selebihnya me­libatkan kenaikan harga barang.

Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, jumlah aduan itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding ketika cukai barang dan perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan lebih tiga tahun lalu.

Katanya, aduan berkaitan SST juga tidak begitu ketara dan lebih ‘harmoni’ penerimaannya berbanding GST sebelum ini.

“Kesemua aduan tersebut bagaimanapun berjaya diselesaikan dengan lapan daripada­nya kita panjangkan kepada pihak kastam manakala tiga lagi aduan, kita selesaikan sendiri,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai Ops Catut 5.0 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri yang diketuai pengarahnya, Datuk Saidi Ismail di dua lokasi berasingan iaitu di Torto Food Industries Sdn. Bhd. dan pusat servis kenderaan Audi, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Torto Food Industri, Ang Aik Hwa.

Dalam pada itu, Saidi berkata, sehingga kini, sebanyak 5,200 syarikat di negeri ini berdaftar untuk pelaksanaan SST.

“Kita harap lebih banyak syarikat terutamanya pengusaha atau peniaga yang mencapai nilai ambang yang ditetapkan iaitu seba­nyak RM500,000 supaya berdaftar,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Ridzuan berkata, sebanyak 28 notis dikeluarkan kepada pengilang, pemborong dan peruncit di negeri ini di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana menaikkan harga barang tanpa kebenaran.

Katanya, notis itu dikeluarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Catut 5.0 yang bermula 8 Ogos lalu hingga semalam.

“Dalam operasi itu, seba­nyak 12 premis melibatkan sektor pengilangan telah diperiksa membabitkan 179 jenis barangan termasuk makanan, pakaian, barangan elektrik serta perabot.

“Turut diperiksa ialah 16 premis melibatkan pemborong dan pembekal serta 461 premis peruncitan membabitkan 13,622 jenis barangan dan perkhid­matan,” katanya.