Biarpun dibarisi oleh murid tahun empat dan lima, namun persembahan mereka yang bertajuk Determination-Strive Hard For Your Dreams memukau juri dengan sebutan yang jelas serta lenggok tubuh mempesona.

Menurut jurulatihnya, Estee Quek, kejayaan itu adalah hadiah paling bermakna kepada mereka kerana tidak menyangka menewaskan pasukan lain yang bukan calang-calang peserta.

“Saya dibantu Nur Aqilah Ghazali, Wan Amizatul Nasyirah Wan Annuar, Najihah Yahya, A. Thenmalar dan Raja Ashwadi Putera melatih mereka sejak sebulan lalu bagi mempersiapkan diri menyertai karnival ini.

“Ternyata penat lelah kami berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara dan ini juga hadiah kepada Jabatan Pendidikan Ne­geri Terengganu yang menaruh kepercayaan kepada kami untuk mewakili negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kontinjen Selangor muncul sebagai juara keseluruhan karnival itu yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini selepas mengungguli empat acara iaitu kedua-dua acara Poetry Recitation kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, Storytelling Sekolah Rendah dan Scarbble Sekolah Rendah.

Seramai 416 peserta dari 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama 144 guru pengiring menyertai karnival itu.

Sebanyak lapan acara di­pertandingkan pada karnival selama empat hari bermula 16 Ogos lalu yang turut menyaksikan Kuala Lumpur muncul juara acara Public Speaking Sekolah Mene­ngah dan Scarbble Sekolah Menengah manakala peserta Sarawak muncul juara acara Public Speaking Sekolah Rendah.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Pengarah Pen­didikan Pulau Pinang, Mohd. Jamil Mohamed.

Sementara itu, guru pengiring dari Melaka, Mohd. Anis Abdul Majid berkata, penganjuran karnival seumpama itu dapat membantu memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan peserta berbilang kaum.

Katanya, selama empat hari mereka berkampung di UiTM dan dapat berkenalan antara satu sama serta bertukar-tukar pendapat serta pandangan demi mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan peserta.

“Karnival seumpama ini dapat membantu mengeratkan hubungan antara sesama peserta yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ia mampu membantu keupayaan peserta untuk lebih yakin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris serta merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar,” katanya.