Itu persoalan yang menjadi misteri dan tanda-tanya daripada aktiviti mengorek pasir itu yang difahamkan sudah dilakukan sejak awal Februari lalu.

Lebih menghairankan, pa­sir yang dikorek pada jarak kira-kira satu batu nautika dari perairan Jelutong menggunakan dua jengkaut itu dilonggokkan di kawasan pantai berdekatan Macallum, Georgetown di sini untuk kegunaan dan projek yang tidak dapat dipastikan.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad, pihaknya tertanya-tanya mengenai status projek korek pasir itu sama ada diluluskan pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang atau dilakukan secara haram.

Ini kerana katanya, projek itu bermula secara tiba-tiba sejak Februari lalu tanpa pihak nelayan dimaklumkan atau tanpa sebarang kajian impak alam sekitar (EIA) dibuat terlebih dahulu.

Malah, lebih dikesalkan adu­an mereka kepada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tidak mendapat maklum balas apabila aktiviti mengorek pasir itu terus berjalan sehingga kini seolah-olah di luar penglihatan pihak berwajib.

“Lebih daripada itu, kawasan yang dikorek itu juga merupakan habitat kepada anak-anak ikan, udang dan ketam untuk membiak dan semuanya kini musnah akibat aktiviti itu.

“Nelayan juga hilang pendapatan lebih 50 peratus dan hidup semakin terhimpit apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nazri, pihaknya hairan bagaimana pemaju boleh sewenang-wenangnya mengo­rek pasir di kawasan laut yang sangat dekat dengan pantai itu tanpa disedari pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak berwajib yang mana kerja-kerja mengorek pasir tersebut jika tidak dihentikan segera boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Ini kerana katanya, lumpur dan keladak akibat pengorekan pasir yang dilakukan akan mencemarkan hidupan laut de­ngan bakteria E. Coli dan Salmonela.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Ma­syarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kerajaan negeri tidak pernah memberi kelulusan atau kebenaran bagi kerja-kerja mengorek pasir di perairan Jelutong.

Justeru kata beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung aktiviti tersebut.

Dalam masa sama, Kumpulan E&O iaitu pemaju bagi projek tambak laut Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) di Persiaran Gurney mendakwa tidak mempunyai kaitan dengan kerja-kerja mengorek pasir berkenaan.

Jurucakapnya berkata, pasir yang digunakan mereka untuk projek dijalankan menerusi anak syarikat Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. diperoleh dari luar negeri ini iaitu dari Perak dan Selangor.

Katanya, pasir yang diperoleh itu juga diambil dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta melalui kesan impak alam sekitar (DEIA).