Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Ke­senian negeri, Yeoh Soon Hin berkata, bencana banjir kilat sehingga memasuki ruang pelepasan memberi imej buruk kepada negeri ini yang terkenal sebagai sebuah negeri pelancongan khususnya dalam kalangan pelancong asing.

Ujar beliau, pihak berwajib khususnya Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu mencari punca sebenar kejadian seterusnya mengambil langkah segera dalam memastikan ke­selamatan dan keselesaan penumpang LTAPP.

“Saya juga sudah berjumpa pihak pengurusan LTAPP dan meminta mereka menaik taraf aspek kemudahan dan perkhidmatan di situ.

“Saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan negeri ini mencapai standard atau taraf antarabangsa dalam perkhidmatan dan infrastrukturnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Awal pagi kelmarin, seramai 28 penumpang terpaksa meredah air pada paras buku lali selepas balai pelepasan LTAPP dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat.

Kejadian pukul 8 pagi itu membabitkan penumpang pe­sawat Malindo Air menuju ke Subang namun tidak menyebabkan sebarang masalah teknikal lain.

Dalam kenyataan berhubung kejadian itu, Pengurus Kanan LTAPP, Mohd. Nadzim Hashim berkata, kejadian tersebut berpunca apabila kawasan parkit pesawat turbo prop dinaiki air, namun keadaan pulih seperti biasa selepas air surut.