Namun, berbeza dengan dua fiesta terdahulu, fiesta kali ini dianggap lebih meriah dengan beberapa penambahbaikan yang dilakukan penganjur khususnya kerajaan negeri.

Selain menggabungkan tiga pesta atau fiesta sekali gus iaitu Agro Festival, Penang Food Festival dan Festival Seni Northsantara Artwave, fiesta selama lima hari bermula 26 September itu juga dijadikan medan atau zon bebas asap rokok dan bebas sampah.

Keadaan itu secara tidak langsung dapat menggamit keha­diran lebih ramai pengunjung terutama yang datang secara berkeluarga untuk beriadah, membeli-belah dan bersantai dengan lebih selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa serta Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, fiesta itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan ne­geri selain syarikat swasta dan persendirian.

Katanya, antara jabatan dan agensi terbabit termasuk Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Per­khidmatan Veterinar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) dan sebagainya.

“Bagi program AgroFest (Agro Festival) sebagai contoh, kita telah menyusun pelbagai akti­viti sepanjang fiesta berlangsung termasuk pameran berkaitan pertanian, veterinar, teknologi dan inovasi, pertandingan ayam serama, pertandingan ikan hia­san, pertandingan ‘penjantan unggul’ dan sebagainya.

“Semua ini mendapat sambutan yang amat baik daripada segenap lapisan masyarakat dan ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pertanian serta industri asas tani di negeri ini kini sedang berkembang pesat.

“Pada masa sama, kita juga secara tidak langsung telah berada pada landasan yang tepat dalam usaha menjadikan pertanian sebagai satu sektor yang moden, dinamik, kompetitif dan menguntungkan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian fiesta itu di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama pada fiesta yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Ne­geri, Tun Abdul Rahman Abbas itu ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy dan Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud.

Sempena majlis perasmian itu juga, beberapa anugerah berkaitan AgroFest turut disampaikan kepada para pemenang termasuk Anugerah Pemasar Tani dan Pekebun Kecil Jaya, Anugerah Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM).

Turut diberikan Anugerah Usahawan Ikan Air Tawar dan Ikan Air Payau serta Anugerah Pertubuhan Peladang Jaya dan Anugerah Peladang Jaya Wanita.

Dalam pada itu, Penang Food Festival yang turut diadakan sempena fiesta itu juga tidak kurang hebat sambutannya apabila terus dibanjiri pengunjung sejak fiesta tersebut bermula.

Melibatkan sekurang-kurang­nya 80 buah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan mengikut trend terkini, pengunjung juga mempunyai lebih pilihan apabila terdapat lebih daripada 15 buah ‘food truck’ atau trak makanan yang mengambil bahagian dalam fiesta berkenaan.

Aktiviti lain yang dijalankan sempena Fiesta Seberang Perai itu termasuk penjualan benih pokok, pertandingan meman­cing, per­tandingan kucing, karaoke, pameran serta penjualan buku, galeri lukisan dan sebagainya.

Sementara itu, Rozali percaya fiesta tersebut berjaya mencapai matlamatnya dalam mempromosi serta memasarkan produk-produk dan hasil-hasil pertanian, penternakan serta perikanan kepada penduduk setempat dan pengusaha-pengusaha besar.

“Saya melihat Seberang Perai Fiesta itu sebagai satu platform dan kaedah paling berkesan ke­pada para usahawan dalam mem­perkenal serta memasarkan produk-produk mereka,” katanya.