Kesemua mereka yang me­rupakan buruh serta penganggur ditahan menerusi Ops Sarang yang dijalankan sekumpulan anggota dan pegawai narkotik ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, operasi bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah se­perti syabu, ganja dan heroin de­ngan berat keseluruhan 30 gram daripada 16 suspek yang ditahan.

Turut ditemukan, katanya, adalah dua motosikal jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang pada 2012 dan tahun lalu yang dinaiki tiga suspek ketika menuju ke sarang dadah ber­kenaan.

“Serbuan ini dilakukan hasil maklumat awam berkenaan kawasan paya bakau ini yang se­ring dijadikan lokasi penagihan dadah.

“Nilai keseluruhan rampasan yang dibuat dalam operasi ini kira-kira RM1,100 dan suspek dibawa ke ibu pejabat polis SPU untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noorzainy berkata, kesemua dadah yang dirampas itu adalah untuk kegunaan sendiri dan hasil ujian air kencing semua suspek didapati positif dadah jenis MOP dan methamphetamine.

Katanya, kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Kes ini disiasat di bawah beberapa Seksyen seperti 39B; 39A(2); 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (R/P) 1983 kerana memiliki dadah berbahaya dan menagih dadah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas sarang penagih dadah di daerah ini.

“Sehubungan itu, kita meng­harapkan kerjasama ma­syarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah serta jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih di daerah ini,” katanya.