Namun sejak enam bulan lalu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height itu hanya mampu terlantar di rumah mereka di Flat Taman Tun Sardon di sini akibat diserang penyakit psoriasis.

Disebabkan penyakit kulit kronik itu juga, Nur Qalisya tidak dapat hadir ke sekolah sejak awal sesi persekolahan bermula tahun ini kerana kulit badannya amat sensitif dengan cuaca panas.

PENGHIDAP penyakit psoriasis Nur Qalisya Noor Azmi hanya mampu terlantar di rumahnya di Flat Taman T

PENGHIDAP penyakit psoriasis Nur Qalisya Noor Azmi hanya mampu terlantar di rumahnya di Flat Taman Tun Sardon, Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE

Menurut ibunya, Noorrehan Che Saad, 33, Nur Qalisya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pernah diserang penyakit itu sebelum ini dan mula dikesan menghidap penyakit psoriasis pada awal Jun tahun lalu.

“Akibat penyakit ini, anak saya hanya mampu terlantar kerana keseluruhan kulit badannya akan mengelupas, berasa pedih dan menjadi gatal-gatal.

“Dia juga tidak dapat hadir ke sekolah seperti dahulu, saya sedih apabila dia selalu beritahu dia rindukan rakan-rakan di sekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorrehan yang merupakan seorang suri rumah berkata, suaminya hanya bertugas sebagai seorang pemandu bas dan mereka telah mendapatkan rawatan bagi penyakit anaknya itu di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Doktor ada maklumkan penyakit ini sukar pulih dan akan berulang semula, setakat ini rawatan yang diterima di HPP sesuai dengan anak saya.

“Saya cuma berharap anak saya akan pulih segera dan dapat kembali ke sekolah seperti yang dia mahu,” katanya.

Dalam pada itu, kerinduan Nur Qalisya terhadap alam persekolahan sedikit terubat hari ini apabila Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mahanom Mat Sam, para guru SK Minden Height dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid melawat kanak-kanak tersebut.

Menerusi program Ziarah Cakna itu, mereka turut menyampaikan bantuan kepada keluarga berkenaan.

Mahanom berkata, bagi memastikan Nur Qalisya tidak ketinggalan dalam pelajaran para guru sekolah tersebut akan hadir ke rumah kanak-kanak itu secara bergilir-gilir untuk mengajar Nur Qalisya.

“Selain itu, bagi memastikan Nur Qalisya sentiasa bersemangat untuk belajar, guru kaunseling juga akan hadir ke rumahnya bagi memberikan motivasi kepadanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE