Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke kawasan terbabit sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat.

Menurutnya, peruntukan un­tuk penambahbaikan dan penyelenggaraan itu dijangka diperoleh tahun hadapan dan beliau menyeru orang ramai agar bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan kelak.

Jelas beliau, Balik Pulau yang terletak di bahagian barat daya ne­geri ini mempunyai banyak lokasi boleh dijadikan tarikan pelancongan khususnya khaza­nah hutan dan alam semula jadi.

“Malah, kita juga ada menjemput pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi menilai sendiri potensi pelancongan yang ditawarkan di kawasan ini dan mereka telah hadir membuat pemeriksaan, minggu lalu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Eco Cycling and Beat Plastic Pollution Campaign anjuran Flex di Sekolah Menengah Pondok Upeh di sini, baru-baru ini.

Jelas Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, pihaknya juga sedang berusaha menawarkan pakej pelancongan bot dari Kuala Su­ngai Pinang di daerah itu ke Pantai Kerachut dan Teluk Kampi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan alam sekitar terutama mengelak daripada membuang sisa plastik.

Katanya, sisa plastik memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang kepada kelesta­rian alam sekitar kerana sukar dilupuskan.