Ini kerana sejak kejadian itu, hanya satu lorong jalan tersebut boleh dilalui penduduk manakala kenderaan berat pula tidak dibenarkan menggunakannya sehingga kini.

Keadaan itu menyebabkan keadaan sesak khususnya ketika waktu puncak yang sekali gus menyusahkan penduduk manakala peniaga pula terputus bekalan tertentu disebabkan lori besar tidak boleh menghantar barangan melalui jalan tersebut.

Anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gooi Seong Kin berkata, disebabkan runtuhan jalan itu, kenderaan berat seperti lori simen, pasir dan minyak serta trak tidak dapat menghantar bekalan kepada peniaga termasuk stesen minyak di kawasan Balik Pulau.

Malah, katanya, penduduk juga merungut kerana Bas RapidPenang dan bas kilang juga tidak boleh melalui jalan itu sekali gus menjejaskan mereka.

“Malah, terdapat stesen minyak di sini terpaksa ditutup beberapa hari selepas kejadian itu disebabkan terputus bekalan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk menghantar bekalan,” katanya.

Beliau ditemui ketika me­n­yertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari meninjau lokasi tanah runtuh itu di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya sudah memohon peruntukan berjumlah RM1.7 juta daripada Kementerian Kewangan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan tersebut memandangkan laluan itu di bawah selenggaraan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerja-kerja mem­baik pulih itu dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan sebaik sahaja peruntukan itu diluluskan.