Menerusi kerjasama itu, HSM bakal mempelbagaikan lagi produk dan perkhidmatannya melalui jenama 'Seri Malaysia' dengan kepakaran bidang sedia ada menerusi model pelan perniagaan baharu bersama YIPP.

Menurut Pengerusi RHSM, Badrul Hassan Mohammed Kassim, pelan itu merangkumi projek pembangunan hartanah, restoran, pusat latihan, pelancongan dan banyak lagi.

Tambah beliau, menerusi kerjasama itu juga, RHSM dapat menawarkan perkhidmatan pengurusan dan pengemasan bilik; pengurusan dapur serta makanan dan minuman untuk projek- projek yang bakal dibangunkan oleh YIPP.

"Hasrat untuk mengadakan kerjasama ini sudah lama dirancang dan ini merupakan salah satu cara Hotel Seri Malaysia menyokong program di bawah YIPP khususnya serta program berasaskan yayasan muslim yang lain," katanya.

Beliau berucap dalam majlis menandatangani MoU itu di Hotel Seri Malaysia di sini yang mana RHSM diwakili Pemangku Pengarah Urusannya, Mohd. Jailani Ab Salam manakala YIPP diwakili Pengerusinya, Datuk Mansor Othman.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Menurut Badrul Hassan, RHSM dari semasa ke semasa akan membuat penambahbaikan dari sudut kualiti, produk dan perkhidmatan khususnya perkhidmatan makanan dan minuman.

Katanya, perkara itu bagi memenuhi keperluan pengguna dan menggalakkan kerjasama dengan agensi dan badan lain pada masa akan datang seterusnya mengembangkan industri pelancongan dan hospitaliti seiiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020. - UTUSAN ONLINE