Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, projek itu mengalami kelewatan berbanding jadual asal memandangkan projek ini dihentikan seketika apabila berlaku kejadian tanah runtuh pada 19 Oktober 2018.

"Pada ketika ini, kemajuan sebenar adalah sebanyak 78 peratus berbanding jadual asal 86 peratus.

"Kerja-kerja dijangka siap pada Julai tahun depan dan pengguna boleh menggunakan laluan tersebut pada Ogos tahun depan" katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari.

Sebelum ini, projek berkenaan dihentikan selepas kejadian tanah runtuh pada 19 Oktober 2018 yang mengorbankan sembilan nyawa.

Projek itu dimulakan semula setelah mendapat kelulusan dari Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negeri (DOSH) pada 28 Februari lalu.

Menurut Jagdeep, sejak projek itu dimulakan pada 2016 hingga 2018, sebanyak RM275.8 juta telah dibelanjakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk pembinaan projek itu dan termasuk kos pengambilan tanah.

"Pada tahun ini MBPP telah memperuntukan sebanyak RM44.2 juta dan untuk tahun 2020 sebanyak RM37.3 juta lagi akan diperuntukan bagi pembinaan projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong ini," katanya.

Dalam pada itu, Zairil berkata, pada ketika ini kerja-kerja yang dijalankan di tapak adalah kerja-kerja struktur bertingkat bagi jalan sambungan Jalan Tun Sardon Link.

"Di bahagian jajaran utama jalan berkembar ini, kerja-kerja yang sedang dijalankan adalah pembinaan struktur jalan bertingkat," katanya. - UTUSAN ONLINE