Selain dikendalikan pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit dan dokumen sah, premis itu juga didapati kotor dengan sisa-sisa makanan tidak diuruskan dengan sempurna.

Premis makanan dikendali warga asing jijik, kotor
SEBAHAGIAN warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah yang bekerja di sebuah premis makanan dalam keadaan kotor dan jijik di Georgetown, Pulau Pinang. - UTUSAN ONLINE

Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Kholijah Mohamad, dalam serbuan pihaknya menerusi Operasi Bersepadu di rumah berkenaan pagi semalam, seramai lapan pekerja terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing berada di premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiga warga asing terdiri daripada seorang lelaki dan wanita Myanmar serta seorang lelaki Sri Lanka tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Lebih menjijikan apabila rumah yang dijadikan premis penyediaan makanan itu didapati kotor dan tidak bersih dengan sisa makanan tidak dibuang dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Kholijah, dalam serbuan berasingan di sebuah kafe, kedai runcit dan pusat cuci kereta di Tanjong Tokong dan Jalan Free Scholl di sini, pihaknya turut menahan enam warga asing masing-masing lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Vietnam.

Katanya, mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas untuk bekerja di negara ini yang sah.

“Kesemua tangkapan dibawa balik ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya di sini untuk tindakan lanjut sementara siasatan ke atas majikan dan pemilik premis berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambah Kholijah, operasi yang digerakkan itu hasil aduan daripada orang awam dan beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang isu kebanjiran warga asing hanya membabitkan masalah pasport atau permit semata-mata.

Ini kerana, katanya, masalah itu juga melibatkan isu kesihatan yang turut perlu diberi keutamaan yang mana warga asing yang terlibat dalam kerja-kerja pengendalian makanan lebih terdedah kepada penularan penyakit sekiranya tidak mengambil imunisasi.

“Antaranya penyakit hepatitis atau radang hati yang boleh berjangkit sekiranya tidak dicegah,” katanya. - UTUSAN ONLINE