Selepas kehilangan ta­ngan kirinya yang dipotong akibat penyakit itu tiga tahun lalu, kini sel kanser ini me­rebak ke bahagian paru-paru menyebabkan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari.

Sejak pertengahan tahun lalu, anak sulung kepada pasangan Mohd. Ayob Ahmad, 31, dan Nor Azilawati Che Ahmad, 28, itu terpaksa melupakan alam persekolahan dan Hospital Pulau Pinang (HPP) menjadi rumah kedua mereka.

Menurut Nor Azilawati, Aliff Haikal kini telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak empat kali di HPP dan doktor memaklumkan sel kanser di paru-paru itu belum mengecut.

“Doktor cadangkan untuk buat pembedahan, namun agak berisiko buat Aliff Haikal, jadi dia jalani rawatan susulan biasa di HPP selain berulang-alik setiap hari ke Hospital Bukit Mertajam untuk ubat dan ujian darah.

“Biarpun dia kelihatan aktif bermain di rumah, namun ada kalanya dia menjadi agak sensitif apabila sakit itu menyerang,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil agensi pengendali insurans PruBSN Takaful Prime Group di rumahnya di Tasek Cempedak di sini semalam.

Kisah penderitaan Aliff Haikal pernah mendapat perhatian media tiga tahun lalu apabila kanak-kanak itu menderita apabila tangan kirinya membengkak sebelum dipotong di HPP akibat kanser tulang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prime Group, Safirul Said berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu menghulurkan sumbangan kepada Aliff Haikal selepas dimaklumkan me­ngenai nasibnya oleh salah seorang ejen mereka.

“Kami mengadakan kutipan sumbangan di bawah Program PG Pri­hatin dan hari ini saya sendiri turun padang untuk menyam­paikan sumbangan ini kepada Aliff Haikal.

“Harapan kami agar Aliff Haikal sembuh seperti sedia kala dan keluarganya juga tabah menerima ujian ini,” katanya.