Bagaimanapun, hasratnya itu mungkin hanya dapat direalisasikan apabila rawatan kemoterapi bagi penyakitnya itu selesaikan pada Mac tahun depan.

Ibunya, Rohani Abdullah, 45, berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Titi Serong, Parit Buntar, Perak itu sering menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengan rakan-rakannya di sekolah selepas lama bercuti.

“Mungkin dia bosan apabila banyak masanya dihabiskan di rumah dan kadangkala di hospital.

“Program Kembali Ke Sekolah 2019 hari ini anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara membuatkan anak saya merindui suasana di sekolah dan saya harap dia segera pulih daripada penyakit yang dihidapinya,” katanya dalam program itu di pasar raya Mydin di sini hari ini.

Mohd. Daniel merupakan salah seorang daripada 100 kanak-kanak pesakit kanser yang diraikan persatuan tersebut untuk menyemarakkan semangat mereka kembali ke sekolah.

Program tersebut dirasmikan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Taiyib berkata, 100 kanak-kanak pesakit kanser yang diraikan dalam majlis tersebut berusia antara tujuh sehingga 17 tahun.

“Mereka terdiri dalam kalangan pesakit kanser darah, otak, tulang, otot, tisu serta kelenjar dari negeri ini, Kedah, Perlis dan Perak.

“Walaupun kanak-kanak tersebut disahkan beransur pulih, namun mereka tetap dikehendaki menjalani rawatan dan mengambil ubatan seperti yang ditetapkan,” katanya.