Menerusi surat tersebut, peng­huni berkenaan diberikan tempoh selama sebulan bermula 1 Oktober lalu untuk mengosongkan kediaman mereka atau berdepan tindakan penguatkuasaan jika gagal berbuat demikian.

Seorang wakil penduduk yang kecewa dengan surat arahan tersebut, Ibrahim Md. Din, 56, berkata, tempoh yang singkat itu menyukarkan penghuni terbabit mencari kediaman baharu untuk disewa.

“Rumah ganti tak ada lagi dan deposit (memasuki rumah sewa baharu) juga bukan murah. Jadi, kami berharap agar pihak berkuasa terutama kerajaan negeri dapat menilai balik arahan berkenaan.

“Penyerahan surat arahan terbabit dibuat secara berperingkat dan kebanyakan alasan diberikan adalah kerana berpendapatan lebih, memiliki rumah lain selain telah disenaraihitamkan akibat masalah hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, ada penghuni yang mendakwa diarah mengosongkan rumah mereka hanya kerana nama mereka tidak tersenarai sebagai pengundi di Parlimen Bagan.

Seorang lagi penduduk, Maz­harizal Mahazir, 40, mendakwa, menerima surat arahan tersebut dengan alasan masih bujang.

“Saya OKU (orang kurang upaya) yang menghidap beberapa penyakit seperti sawan dan ketumbuhan dalam otak selain menanggung bapa dengan wang pencen ilat sebanyak RM1,140 sebulan.

“Arahan ini membuatkan kami berdua tertekan. Ke mana kami nak pergi kalau rumah ini diambil balik? Takkan nak merempat bawah jambatan?,” katanya yang tinggal di pangsapuri itu sejak 10 tahun lalu.

Bagi N. Moganambal, 48, pula, arahan untuk mengosongkan kediaman itu juga amat meresahkan keluarganya memandangkan dia baharu berhenti kerja dan pendapatan suaminya juga tidak menentu.

Dia yang hilang kelayakan untuk tinggal di situ kerana didakwa memiliki rumah lain berkata, rumah tersebut sebenarnya ditarik balik pihak bank sejak beberapa tahun lalu.

“Tolonglah, ini sahaja rumah yang kami ada sekarang,” katanya yang tinggal di situ bersama suami serta lima anak mereka.