Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hanya memantau PDC bagi melicinkan operasi agensi berkenaan.

“Sebenarnya ia bukan pengambilalihan, dalam kes ini ia adalah pemantauan oleh pihak kementerian.

“PDC diletak di bawah satu kementerian supaya kementerian boleh tolong menjaga PDC, kalau mahu wang kementerian boleh tolong bagi juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perasmian stesen bawah Bukit Bendera (Fasa Tiga) di sini hari ini.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong hari ini mengkritik kerajaan negeri sebagai tidak berkuasa dengan membenarkan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengambil alih PDC.

Tong Keong berkata, tindakan itu juga seolah-olah telah mengabaikan kepentingan rakyat negeri ini.

PDC yang telah ditubuhkan pada 17 November 1969 merupakan agensi pembangunan milik kerajaan negeri.

Aktiviti utama PDC termasuklah menjadi tenaga pemikir kerajaan negeri, pembangunan taman perindustrian, pembangunan perbandaran, pembangunan semula bandar, perumahan mampu milik dan pelaburan.

Menurut Kon Yeow semua pihak harus sedar bahawa PDC terikat dengan peruntukan undang-undang di mana terdapat juga undang-undang yang mengawal pengoperasian dan peranan sesuatu agensi.

“PDC akan terus beroperasi seperti biasa, saya masih Pengerusinya,” katanya. - UTUSAN ONLINE