Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang tadi, pekerja wanita berkenaan menerima panggilan daripada seorang lelaki yang bertanya nama penuhnya.

Menurut sumber, wanita berkenaan kemudian dimaklumkan oleh lelaki itu kononnya terdapat bom di dalam premis berkenaan.

“Wanita itu bersama seorang rakannya kemudian memaklumkan tentang panggilan itu kepada pihak pengurusan dan seramai 12 pekerja bersama empat pelanggan kemudian diarahkan mengosongkan premis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kemudian melakukan proses pencarian di sekitar bangunan berkenaan namun tidak menemukan sebarang objek berpontensi mendatangkan ancaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan kejadian dan beliau memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE