Selain peringkat negeri, jumlah penyertaan itu termasuk program yang diadakan pada peringkat sekolah, kolej dan universiti, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta di kelima-lima daerah di negeri ini.

Di peringkat negeri, acara sambutan dimulakan dengan sesi senamrobik sebelum pelepasan Mutiara Fun Run HSN 2018 dilakukan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Turut diadakan adalah demonstrasi seni mempertahankan diri serta pelbagai pertandingan lain yang melibatkan semua peringkat umur termasuk murid serta pelajar sekolah.

Antara acara dan pertandingan yang mendapat sambutan kali ini termasuk bola tampar pantai tiga sebelah, bola sepak kategori sekolah rendah bawah 10 tahun, paintball, mendaki tembok, Mr. Fitness, floorball dan sebagainya.

Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, HSN yang disambut sejak 2015 bertujuan memberi kesedaran tentang pentingnya sukan kepada masyarakat dan pembangunan negara.

“Tak semestinya (dengan bersukan) kita akan jadi jaguh antarabangsa, tapi (anggaplah) sukan sebagai satu budaya untuk membina semangat perpaduan, perjuangan selain menyihatkan tubuh badan,” katanya ketika majlis perasmian Hari Sukan Negara 2018 peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Zahari Abd. Mubin.-UTUSAN ONLINE