Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, selain PPC 1 yang dicatatkan sebagai bidaan tertinggi bagi siri itu, PPC 3 pula dibida pada harga RM45,000 diikuti PPC 33 (RM25,000); PPC 22 (RM12,150) dan PPC 333 (RM6,464).

Menurut beliau, pihaknya menerima sebanyak 586 bidaan menerusi sistem JPJeBID dengan 300 daripadanya adalah bidaan yang berjaya dengan kutipan keseluruhan RM969,738.

"Bidaan bagi siri PPC ini dibuka selama lima hari dan berakhir semalam selepas JPJ negeri bertukar daripada sistem bidaan manual kepada online.

"PPC merupakan siri keempat di seluruh negara yang menggunakan sistem online selepas Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamat Johari berkata, bagi siri-siri nombor plat kenderaan selepas ini, pembida perlu menggunakan aplikasi di telefon pintar atau secara online untuk membuat bidaan yang dilihat lebih memudahkan. - UTUSAN ONLINE