Memorandum bantahan setebal enam muka surat itu diserahkan Pengerusi Pen Mutiara, Nazri Ahmad di kediaman rasmi Abdul Rahman di Seri Mutiara di sini semalam dan diterima Setiausaha Peribadi beliau, Mohd. Abdul Rahman Ismail.

Menerusi memorandum itu, Nazri yang mewakili nelayan di negeri ini berharap pihak berkuasa berkaitan membatalkan projek PSR dan mencari jalan lain untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dapat menyelesaikan masalah lalu-lintas di negeri ini.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya juga menyeru kerajaan negeri membatalkan projek penambakan pesisir pantai Butterworth dan berusaha mencari pendekatan alternatif yang sesuai untuk menyelesaikan sebarang konsesi tertunggak daripada projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Tambah Nazri, perairan selatan yang dirancang ditambak itu merupakan kawasan perikanan terbaik dan paling produktif selain merupakan lokasi sumber udang paling penting di negeri ini.

Katanya, skala penambakan PSR seluas kira-kira 1,800 hektar iaitu saiz yang sama dengan ‘Forest City’ di Johor akan menyebabkan kemusnahan hidupan laut secara berleluasa.

"Sebahagian daripada sisa kumbahan juga akan menjejaskan akuakultur laut di Pulau Betong, Batu Maung dan Sungai Udang di sini.

"Kekurangan sumber laut akan mengecewakan bukan sahaja nelayan di kawasan selatan negeri ini, tetapi juga nelayan dari bahagian lain Pulau Pinang; Kedah dan Perak yang datang dengan beratus-ratus bot melawat kawasan perairan emas ini," katanya menerusi memorandum itu.

Tambah Nazri, Kemeterian Pertanian sebelm ini juga mengakui seramai 5,000 nelayan Pulau Pinang akan terjejas akibat projek PSR dan pemulihan sepenuhnya hanya boleh dimulakan apabila projek tamat iaitu selepas 15 tahun.

Malah, katanya, kira-kira 9,000 nelayan dari utara Perak juga akan terjejas akibat aktiviti pelombongan pasir sebanyak 189.1 juta meter padu dan seluas 819.7 km persegi. - UTUSAN ONLINE