Menerusi notis tersebut, penduduk yang terlibat diberikan tempoh selama sebulan bermula 1 Oktober lalu untuk mengosongkan kediaman mereka atau berdepan tindakan penguatkuasaan jika gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, difahamkan rata-rata mereka memilih untuk terus menetap di situ walaupun tarikh akhir pengosongan itu sudah berlalu.

Wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Jaringan Perumahan Pulau Pinang, R. Karthiges berkata, mereka berharap kerajaan negeri bersetuju untuk membatalkan sementara notis pengusiran tersebut buat masa ini.

“Kerajaan negeri juga diminta untuk mengubah suai syarat-syarat untuk mendapatkan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) agar selari dengan kumpulan atau golongan berpendapatan rendah.

“Kami juga sedia untuk berbincang dalam hal ini dan jika perlu, saya dan penduduk terlibat boleh menyerahkan dokumen berkaitan seperti dokumen bank, slip gaji dan sebagainya sebagai bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa berkumpul di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini bagi menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan negeri, baru-baru ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Penolong Setiausaha Kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Akhmal Abu Basar yang mewakili kerajaan ne­geri.

Sementara itu, seorang wakil penduduk, Ibrahim Md. Din, 56, juga sependapat dengan Karthiges dan berharap agar kerajaan negeri lebih bertimbang rasa dalam hal ini.