Penasihatnya, Yan Lee berkata, hasil pemantauan itu akan membolehkan mereka mengum­pul maklumat tentang punca bencana alam tersebut dan kemudiannya boleh menambah baik infrastruktur dan memaklumkan perkembangannya kepada penduduk setempat.

Ini kerana menurut beliau, garis panduan keselamatan pembangunan di lereng bukit pada 2012 disifatkan sebagai sudah terkebelakang selain perlu ditambah baik dengan cara pemantauan serta turun padang oleh jabatan-jabatan berkaitan dalam MBPP.

“Berhenti menyalahkan orang lain, sebaliknya kerajaan negeri perlu mengambil tindakan lebih bijak, setiap kali hujan lebih dari dua jam mereka perlu menggerakkan anggota ke kawasan pembangunan dan kenal pasti masalah yang menyebabkan banjir.

“Mereka boleh gunakan laman sosial Facebook untuk memaklumkan kepada penduduk agar lebih bersedia sekiranya berlaku kejadian hujan seperti pada Jumaat lalu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian banjir pada Jumaat yang disifatkan sebagai paling teruk sejak 10 tahun lalu kerana melibatkan hampir semua lima daerah di negeri ini dan kerugian harta benda penduduk selain menyebabkan seorang wanita terkorban.

Dalam masa sama, Yan Lee turut mempersoalkan status 29 projek pembangunan di lereng bukit pada 2016 yang telah dibangkitkan Penang Hills Watch sebelum dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri dan sebahagiannya telah menerima notis pemberhentian kerja.

“Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow bersama ahli majlis difahamkan telah mengadakan mesyuarat dan membentangkan projek berkenaan, tetapi kita lihat tiada tindakan susulan daripada mereka ke atas projek yang diberi notis.

“Pada tahun ini mereka mengesahkan 12 projek sama yang baharu turut tidak mendapat kelulusan. Jadi apa terjadi kepada semua projek tahun lepas? 
 “Adakah kerajaan negeri se­ngaja hendak bermain wa­yang dengan sering mendedahkan projek tidak lulus tetapi tiada penguatkuasaan terhadapnya?” tegas beliau lagi.