Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, langkah tersebut sebahagian daripada usaha menjadikan Georgetown sebagai bandar selamat menjelang 2030.

Tung Seang berkata, selain penambahan CCTV, pihaknya juga sedang merancang memperkenalkan teknologi baharu iaitu pengenalan wajah pada rakaman video bagi mengelakkan berleluasanya aktiviti jenayah dengan bantuan polis.

“Bagi CCTV, kami juga akan be­kerjasama dengan polis kerana mereka lebih mengetahui kawasan panas untuk memasang kamera baharu itu.

“Dengan adanya kamera baharu yang canggih ini, kita boleh meletakkan­nya di tempat tinggi dan lebih jauh dalam usaha memastikan ke­selamatan orang ramai termasuk pejalan kaki terjamin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam pelancaran Georgetown Bandar Selamat yang disempurnakan Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan di sini semalam.

Dalam pada itu, Thaiveegan memberitahu, ketika ini, lebih 700 CCTV telah dipasang di seluruh ne­geri ini terutama di bahagian pulau dan pemasangan terbaharu ini akan dijalankan secara berpe­ringkat.

Katanya, antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk pemasangan baharu termasuk di hotel-hotel, motel serta di beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Kata beliau, projek tersebut dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) negeri serta Persatuan Hotel Malaysia (MAH).