Pengarah Maritim nege­ri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut ditahan kira-kira 19 kilometer dari Barat Muka Head oleh kapal peronda milik Maritim Malaysia kira-kira pukul 2.41 petang kelmarin.

“Hasil pemeriksaan men­dapati seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 30 tahun bersama tiga awak-awak warga Thailand yang berusia antara 30 dan 51 tahun berada di atas bot tersebut.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 24 kilometer dari pantai terdekat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bot berke­naan bersama dua pukat tunda gulung, ikan campur anggaran 60 kilogram, ikan baja anggaran 1.5 tan ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Pihak kami memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan,” kata­nya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar komuniti maritim negeri ini bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti me­nyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi ru­ngutan nelayan pantai.

“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.