Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi semalam, bot kenka kelas B itu didapati menceroboh kawasan Zon A di kedudukan 6.4 kilometer dari Barat Laut Tanjung Piandang, Perak.

Pengarah Maritim negeri Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang bertindak atas maklumat awam telah berjaya menahan sebuah bot pukat tunda dipercayai sedang menunda ikan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, semasa menghampiri bot berkenaan, didapati kru bot sedang memotong pukat bagi tujuan melepaskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun dan dua orang lelaki tempatan berumur 54 tahun berada di atas bot tersebut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, bot tersebut bersama satu gulung pukat tunda, dua tong ikan dan ikan campur anggaran 100 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Uban di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE