Pengerusinya, Saad Yaacob berkata, pusat pengumpulan al-Quran itu yang beroperasi sejak dua tahun lalu, menerima kira-kira 10 kilogram al-Quran usang setiap minggu untuk dilupuskan.

Saad yang merupakan seorang pesara berkata, dia mendapat nasihat daripada seorang ustaz mengenai keper­luan untuk anak-anak kariah di kawasan itu mendapatkan khidmat untuk melupuskan al-Quran.

“Kebanyakan al-Quran yang sudah usang dan reput tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa dilupuskan dengan cara betul bagi menjaga kehormatan ayat suci al-Quran.

“Disebabkan itu saya terpanggil untuk membantu anak-anak kariah Masjid Permatang Rambai untuk melupuskan al-Quran dengan cara betul,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pusat pengumpulan al-Quran itu kini bukan hanya menjadi tumpuan penduduk di kawasan Permatang Rambai, namun umat Islam di kawasan berhampiran turut menghantar kitab suci ini serta kitab-kitab lama untuk dilupuskan.

“Pusat pengumpulan ini hanya beroperasi pada setiap Sabtu bermula pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.

“Bayaran RM5 sekilogram dikenakan untuk kos pengangkutan bagi menghantar semua al-Quran serta kitab-kitab lama ini ke Jawi, Nibong Tebal untuk proses pelupusan,” katanya.

Katanya, dia juga pernah melihat cara-cara pelupusan al-Quran itu dilakukan dan kaedah yang digunakan memang mengikut undang-undang dan syarak yang ditetapkan.