Antara tarikan yang mampu ditawarkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara adalah inap desa, ternakan air tawar, restoran sajian udang galah, habitat monyet dan burung serta banyak lagi.

Menyedari potensi yang ada, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) merancang membangunkan ketiga-tiga lokasi itu dengan pelbagai kemudahan asas termasuk jeti, tandas, surau dan gerai jualan.

Penolong Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Perda, Mohd. Salleh Husain berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, pihaknya merancang menubuhkan Koperasi Nelayan Labuh Banting, Air Hitam Dalam dan Pangkalan Machang yang akan menguruskan semua projek yang akan dibangunkan nanti.

“Jajaran sungai dari Labuh Ban­ting ke Ampang Jajar seterusnya ke laut memiliki pelbagai tarikan termasuk habitat monyet dan burung, pokok berembang yang menjadi kediaman kelip-kelip serta memiliki pemandangan yang cukup unik.

“Di sepanjang sungai itu terdapat beberapa lokasi seperti ladang tebu, tanaman kangkung, ladang ulam-ulaman dan banyak lagi yang mampu menarik pelancong untuk menyelusuri sungai,” kata­nya dalam majlis taklimat penubuhan koperasi itu di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri, Zahari Omar.

Tambah Mohd. Salleh, projek itu dijangka dimulakan pada Januari tahun hadapan dan sebagai permulaan, kerja-kerja menaik taraf kemudahan seperti jeti di ketiga-tiga lokasi tersebut sedang giat dijalankan.

Jelasnya, lokasi itu juga amat hampir dengan Inap Desa Kampung Lahar Yooi yang kini beroperasi dengan 13 buah rumah dan boleh menampung sehingga 140 pelancong pada satu-satu masa.

“Perda juga telah menyiapkan kertas kerja mengenai projek ini dan berharap dapat dilaksanakan awal tahun hadapan.

“Selain itu kita juga telah me­rangka beberapa aktiviti yang dijangka mampu menarik kehadiran pelancong seterusnya menaikkan nama lokasi ini di mata orang luar," ujarnya.

Sementara itu, Shabudin berkata, pihaknya menyokong usaha membangunkan kawasan tersebut yang turut mempromosikan Tasek Gelugor sebagai lokasi pelancong­an terunggul di Seberang Perai.

Katanya, banyak lokasi pelancongan di Seberang Perai yang belum diteroka menyebabkan pelancong lebih mengenali Georgetown dan kawasan sekitarnya berbanding di bahagian seberang.