Bagaimanapun, polis terpak­sa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta yang dinaiki suspek selepas lelaki berusia 29 tahun itu bertindak memecut kenderaannya ketika ditahan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, suspek turut melanggar sebuah motosikal dan kereta ketika dikejar pihak polis sebelum melarikan diri.

Akibatnya, kata beliau, penunggang motosikal yang dilanggar mengalami kecedera­an ringan di tangan dan kaki ma­nakala pemandu kereta yang di­langgar tidak mengalami seba­rang kecederaan.

“Polis bagaimanapun berjaya menahan suspek di Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini selepas lelaki itu melarikan diri sebaik sahaja keretanya melanggar sebuah motosikal dan kereta lain.

“Mengikut rekod, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah iaitu tujuh membabitkan kes jenayah manakala dua lagi kesalahan berkaitan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat di bawah beberapa akta antaranya Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh de­ngan cuba melanggar anggota polis serta orang awam.

Selain itu, ujar beliau, suspek juga boleh dituduh di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.