Bertempat di Stadium Badminton Bukit Dumbar di sini, seramai 14 pengamal media masing-masing tujuh daripada Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Media Mutiara) dan wartawan akhbar Cina menyertai perlawanan tersebut.

Kesemua mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B berpasangan bersama-sama 14 lagi kakitangan Kumpulan E&O daripada pelbagai jabatan.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi dan Strategi Kumpulan E&O, Ann Tan berkata, program itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan syarikat berkenaan dalam merapatkan lagi hubungan dengan kalangan pengamal media di negeri ini.

Selain itu, tambahnya, aktiviti tersebut juga merupakan penghargaan kepada media di negeri ini yang banyak memberi sokongan kepada syarikat berkenaan khususnya dalam mempromosi serta menghebahkan pelbagai program bersama masyarakat yang dianjurkan pihaknya.

"Kita sudah menganjurkan program berbentuk perlawanan persahabatan seperti ini sejak beberapa tahun lepas sama ada menerusi acara sukan badminton; futsal atau boling.

"Sudah semestinya acara sebegini akan diteruskan pada masa depan dan kita berharap kerjasama dan sokongan antara kedua-dua pihak ini dapat diteruskan pada masa depan.

"Kita juga merancang untuk mempelbagaikan aktiviti dan acara sukan pada penganjuran selepas ini supaya lebih ramai pengamal media dapat menyertai perlawanan persahabatan dengan kami selepas ini," katanya kepada pemberita selepas program itu di sini baru-baru ini.

Dalam perlawanan itu, Kumpulan A mencatatkan kemenangan besar selepas menewaskan Kumpulan B dengan mata 6-1 dan program tersebut diakhiri dengan majlis makan malam di Hotel E&O, Georgetown di sini.

Kesemua peserta membawa pulang hadiah berupa baucar makan tengah hari di kafe Hotel E&O untuk empat orang bagi kumpulan juara manakala baucar makan tengah hari untuk dua orang bagi naib juara. - UTUSAN ONLINE